SETIA ALAM : Seorang kontraktor kerugian wang tunai berjumlah RM100,000 selepas disamun dua lelaki berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Setia Alam, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi selepas mangsa berusia 41 tahun keluar dari sebuah bank berhampiran untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi membayar gaji pekerjanya.

Menurutnya, mangsa kemudian memandu pacuan empat roda ke sebuah kedai barangan logam di Jalan Meru, Klang untuk membeli kelengkapan bagi projeknya.

“Semasa melalui jalan berhadapan SJKT Setia Alam, mangsa ditahan sebuah Honda Accord yang tidak pasti nombor pendaftarannya.

“Kemudian seorang lelaki memakai jaket polis meminta kad pengenalan serta lesen memandu mangsa. Mangsa yang panik menurunkan cermin kereta dan lelaki itu bertindak mematikan enjin serta mengambil kunci kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nek Zaidi berkata, seorang lagi lelaki bertopeng kemudiannya keluar dari Honda Accord berkenaan dengan membawa sebilah parang sebelum membuka pintu kereta mangsa.

“Suspek menarik baju mangsa dan mengacukan parang kepadanya dengan mengatakan dia inginkan duit.

“Suspek seterusnya melarikan beg di tempat duduk yang mengandungi wang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Metro