PENDANG: “Saya sangkakan ada buaya ketika orang ramai menunjuk ke arah sungai namun rupanya ada mayat terapung,” kata Nor Intan Suraini Mohd Yatim, 36.

Nor Intan Suraini berkata, mayat itu ditemui orang ramai yang sedang bersenam di kawasan beriadah berhampiran Sungai Kolam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini sekitar jam 7.30 pagi tadi.

Katanya, ketika itu dia dan suaminya dalam perjalanan dari rumah di Kampung Titi Dua Lapis, dekat sini untuk menghantar anak lelaki mereka berusia dua tahun ke rumah bapa saudara tidak jauh dari lokasi.

“Saya nampak orang ramai tunjuk ke arah sungai dan mulanya saya ingat ada buaya tetapi suami kata ada mayat dalam sungai dan memberhentikan kereta untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Mayat itu masih lengkap berpakaian dan ketika itu orang tak ramai lagi lalu di situ cuma beberapa orang saja sebelum polis sampai,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Nor Intan yang bekerja kerani di sebuah firma arkitek di Alor Setar berkata, kawasan itu menjadi tumpuan kaki pancing biasanya pada waktu malam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang mengeluarkan mayat sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai berusia lingkungan 40-an hingga 50-an dan setakat ini identitinya masih belum dikenal pasti.

“Kita percaya mangsa dipercayai terjatuh dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sebelum mayatnya ditemui hari ini.

“Bagaimanapun kita hanya menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa yang sedang dilakukan di HSB untuk mengetahui identiti dan punca kejadian,” katanya – berita harian