Bayan Lepas: Seorang lelaki tidak menyangka kepulan asap yang disangka berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah, sebenarnya adalah kebakaran memusnahkan sebuah kereta dan 18 motosikal di Pusat Bayan di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, pada kejadian kira-kira jam 8 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi kejadian, K Aridash, 52, berkata, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran sebelum ternampak kepulan asap terbabit.

“Ketika saya berjalan ke kedai makan, saya ternampak kepulan asap kecil yang mungkin berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah.

“Bagaimanapun, asap semakin banyak ketika saya berpatah balik kerana kedai makanan tutup.

“Justeru, saya terus hubungi pihak bomba untuk laporkan kejadian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 9.10 malam.

Katanya, susulan itu, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Balik Pulau dikejarkan ke lokasi.

“Sejurus sampai di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, kami dapati kebakaran berlaku di kawasan parkir pusat berkenaan yang turut menempatkan sebuah kereta dan 18 motosikal.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 8.40 malam,” katanya.

Katanya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A Anbalagan berkata, siasatan mendapati kejadian membabitkan 18 motosikal lama pelbagai model yang dikumpulkan pihak pengurusan Pusat Bayan – metro