PERDEBATAN tentang penggunaan senjata api di Amerika Syarikat menjadi hangat apabila YouTube mengumumkan, pihaknya akan mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap video senjata api yang dimuat naik ke laman tersebut.

Pengumuman itu menaikkan kemarahan peminat senjata api dan kini mereka bertindak memuat naik isi kandungan berkaitan senjata api ke laman web lucah pula.

Bermula bulan depan, YouTube akan menyekat video yang memaparkan cara-cara membuat senjata api, aksesori seperti alat penyengap (silencer) dan senapang patah.

Laman perkongsian video itu akan menghalang sebarang bentuk kandungan tentang lokasi senjata api dan aksesorinya dijual, termasuk di laman web lain.

Video tentang cara-cara mengubah suai senjata api turut tidak terkecuali daripada syarat baharu itu.

Syarat itu dirancang oleh YouTube sejak empat bulan lalu bersama pakar-pakar senjata api susulan kejadian insiden tembakan yang mengorbankan seramai 58 orang di Las Vegas pada 1 Oktober 2017.

Pembikin kandungan video sudah diberikan notis awal selama 30 hari untuk memadam atau menyunting video mereka yang telah dimuat naik ke YouTube.

Namun, keputusan itu mengecewakan penyokong senjata api dan menurut BBC, saluran mereka sudah pun digantung dan kandungan video turut diturunkan daripada laman tersebut.

Saluran terkenal tentang senjata api, InRangeTV yang memiliki lebih 144,000 pengikut di saluran Youtube memilih untuk menyiarkan kandungan videonya di laman web orang dewasa P******, lapor Bloomberg.

Carian di laman web tersebut mendapati sudah ada lima buah video dimuat naik oleh InRangeTV.

Sementara itu, InRangeTV memuat naik kenyataan di Facebook mempertahankan ‘kebebasan ekspresi di Internet’. – National Public Radio