Kota Bharu: Seorang remaja lelaki Rohingya berusia 17 tahun berjaya diselamatkan polis selepas tujuh hari dikurung sindiket pemerasan Geng Saiful di sebuah rumah di Taman Desa Kesatria, Kok Lanas jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada sepupu mangsa berusia 19 tahun pada 26 Mac lalu.
Katanya, sebelum itu sepupu mangsa menerima panggilan daripada suspek memaklumkan mangsa dilarikan pada 21 Mac lalu di sekitar Kok Lanas dan meminta wang RM30,000 untuk melepaskan mangsa.

“Sepupu mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sebelum kami menyerbu beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu dan Tanah Merah dan menahan 11 suspek termasuk seorang wanita berusia 20 sehingga 30 tahun.

“Hasil soal siasat, kita menyerbu sebuah rumah di Kok Lanas sebelum menahan seorang suspek dan menemui mangsa dalam keadaan selamat di dalam rumah berkenaan.

“Sepanjang tempoh dikurung, mangsa dicucuk dengan jarum dan ditampar untuk menakutkannya. Dalam tempoh 48 jam kita dapat selesaikan kes ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian tadi.

Menurutnya, pihaknya sedang memburu tiga lagi suspek termasuk seorang suspek utama dikenali Saiful yang juga etnik Rohingya.

“Kita percaya kumpulan ini yang didalangi Rohingya dan warga tempatan sudah bergiat aktif melakukan jenayah sejak 15 tahun lalu namun tiada laporan dibuat.

“Semua suspek direman dua sehingga empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

-myMetro