IPOH – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 10 peratus harga tiket bagi pengguna yang mahu mendapatkan pakej pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta kemudahan penginapan di Hospital Pantai Ipoh (HPI) menerusi kempen ‘Travel and Be Fit’.

Pengurus Besar Jabatan Perkhidmatan KTM Intercity/ETS Justine Jude berkata, diskaun itu hanya diberikan kepada penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta pemegang kad diskaun pelajar KTM i-Card menerusi kempen yang berlangsung pada 1 September lepas sehingga 1 September 2018.

“Kempen kali kedua ini diteruskan kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengguna perkhidmatan KTMB selepas kejayaan kempen pertama pada 2014,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen ‘Travel and Be Fit’ di Stesen Keretapi Ipoh di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ingin mendapatkan rawatan di hospital tersebut perlu membuat temu janji terlebih dahulu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-3885155.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HPI Chong Siet Fong berkata, perkhidmatan yang ditawarkan menerusi kempen itu antaranya rawatan pesakit luar, rawatan pembedahan plastik dan rawatan pakar seperti pakar kardiologi.

“Kempen ini dilaksanakan bertujuan menyeru masyarakat di negara ini supaya mengutamakan aspek pencegahan kesihatan diri selain mempromosikan industri pelancongan kesihatan bersempena Tahun Melawat Perak 2017,” katanya.- Bernama