IPOH 3 Mei – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menawarkan diskaun saman bagi kesalahan trafik sebanyak 50 peratus sempena program Jom Sambut Ramadan 2019 di Parit Buntar, esok.

Ketua JSPT negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, sebanyak tiga kaunter dibuka di perkarangan Masjid Daerah Kerian di Parit Buntar bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menyelesaikan bayaran saman tertunggak mereka.

Katanya, kaunter pembayaran berkenaan akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

“Tawaran diskaun ini merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman Op Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.

“Pengurangan sebanyak 50 peratus ini bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menyelesaikan saman tertunggak dan mereka perlu merebut peluang ini khususnya kepada masyarakat di daerah Kerian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang hadir pada program itu juga dinasihatkan agar bersabar dan beratur secara tertib semasa proses semakan, pindaan dan pembayaran dilakukan.-UTUSAN ONLINE