KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan menawarkan diskaun tol kepada pengguna kenderaan kelas 1 sempena perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata kadar dan tempoh diskaun yang akan ditawarkan itu akan diumumkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Lebuh Raya anjuran ANIH, Selasa ini.

Katanya, syarikat juga akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak selain melancarkan perjalanan pengguna Lebuhraya KLK dan LPT1 untuk sampai ke destinasi.

“Apabila pengguna mematuhi TTA ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak sehingga boleh menyebabkan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan waktu puncak trafik bakal membanjiri Lebuhraya KLK & LPT1 sempena Aidilfitri ini adalah pada 1 Jun mulai jam 6 pagi hingga 4 Jun, jam 3 petang bagi trafik menghala ke Pantai Timur.

Trafik di Lebuhraya KLK dan LPT1 juga dijangka meningkat pada 8 dan 9 Jun, antara jam 12 tengah hari hingga jam 12 tengah malam untuk trafik menghala ke arah Kuala Lumpur.

“Oleh itu, saya menyeru semua pengguna yang bakal menggunakan Lebuhraya KLK dan LPT 1 supaya merujuk Jadual TTA yang disediakan, pandu dengan berhemah dan patuhilah peraturan yang ditetapkan.

“Sebelum memulakan perjalanan, pastikan baki kad Touch ‘n Go (TnG) dan e-Wallet RFID sentiasa mencukupi,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata ANIH akan mengedarkan juadah iftar secara percuma mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma menerusi kaunter pandu lalu khas bermula dari jam 5.30 petang hingga 7.30 petang di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Genting Sempah pada 31 Mei ini.

Katanya, edaran juadah iftar percuma sebelum ini diadakan di R&R Gambang (hala timur) pada 17 Meidan R&R Temerloh (hala timur) pada 24 Mei lalu.

“Sumbangan kurma dan juadah iftar ini inisiatif syarikat untuk meneruskan usaha berkongsi keberkatan bulan Ramadan selain sebagai tanda penghargaan kepada pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1,” katanya – Berita harian