KLUANG: Mohamad Nizam Ahmad Ansar, 29, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau di Kluang, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Mohamad Nizam ditemui selepas hampir 45 jam sejak dilaporkan hilang Sabtu lalu.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Asisten Superintendan Mohd Adzhan Mat, berkata, Mohamad Nizam ditemui pasukan mencari dan menyelamat 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa dibawa ke pusat operasi terlebih dahulu sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Mohamad Nizam ketika ditemui berkata, dia terpisah daripada kumpulannya ketika berhenti untuk berehat dan tidak menyangka dengan sekelip mata semua rakannya hilang.

“Saya cuba mengejar namun mula keliru dengan keadaan jalan yang perlu dilalui kerana terlalu banyak simpang menyebabkan saya berpatah balik untuk menunggu kumpulan lain yang masih berada di belakang.

“Namun cubaan berpatah balik itu menyebabkan saya sesat sebelum menemui sebatang sungai menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka mencari saya di kawasan itu,” katanya.

Mohamad Nizam berkata, coklat yang dibawa dan air sungai menjadi sumber makanan dan minumannya sepanjang hampir dua hari berada di dalam hutan itu – berita harian