TAIPING – Seorang jurugambar berputih mata apabila kerugian kira-kira RM3,500 selepas ditipu seorang wanita ketika berurus niaga dalam talian.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Chuah, 22, menyedari ditipu setelah melakukan dua transaksi terhadap suspek dengan memasukkan sejumlah wang RM2,450.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa mengiklankan penjualan kamera jenis Canon 500B bernilai RM1,050 dalam sebuah laman web perkongsian jual beli.

“Mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Linda menyatakan minatnya untuk beli kamera berkenaan.

“Setelah berunding, mangsa bersetuju menjual kamera berkenaan dengan menghantar menerusi khidmat pos laju ke Puchong, Selangor pada 29 Jun lalu setelah Linda membayar menggunakan Bank of America,” katanya.

Menurutnya, mangsa terpedaya setelah menerima emel dari bank berkenaan yang menunjukkan terdapat lebihan bayaran yang perlu dikembalikan.

“Emel dari Bank of America menyatakan bahawa penama Linda memasukkan wang lebih dari yang sepatutnya dan meminta mangsa bayar semula baki RM2,450 terlebih dahulu ke dalam satu akaun sebelum membayar semula wang hasil jualan kamera.

“Setelah bayaran dibuat, sekali lagi mangsa terima emel meminta bayaran sejumlah RM2,500 sebelum mangsa menyedari dirinya ditipu,” katanya.

Harrith Kam berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-Sinarharian