PENIAGA dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kemalangan membabitkan atlet berbasikal negara di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), pagi semalam.

Tertuduh, Anuar Wahab, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abd Jalil Salam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan dengan merbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Kesalahan dilakukan pada 10.45 pagi di Kilometer 12.5 Lebuhraya LATAR.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Mahmoodah VM Abdul Latif menawarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, M Saravanan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan tertuduh mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan kes disebut semula pada 16 Oktober depan.

Kejadian 10.45 pagi semalam berlaku berdekatan susur keluar Bandar Tasik Puteri Lebuhraya LATAR.

Empat atlet berbasikal negara termasuk dua atlet paralimpik dan seorang jurulatih cedera dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menjalani latihan di kawasan itu.

Siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila dua basikal dan sebuah motosikal pengiring jenis Yamaha LC berada di lorong tengah dari arah Ijok ke Rawang.

Bagaimanapun, mereka dilanggar sebuah Toyota Hilux yang mahu menukar lorong ke susur keluar Bandar Tasik Puteri hingga menyebabkan mereka cedera sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terbabit ialah Muhamad Khairul Nizam Mohd Ali, 19, Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 25, Mohd Khairul Azwan Wahab, 25, Mohd Nur Ridzuan Zainal, 31, dan Mohd Johari Nayan, 42, yang juga jurulatih pasukan itu.

-my Metro