KOTA BHARU – Tidak sampai lima jam bebas, seorang daripada dua sahabat dituduh semula di mahkamah majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang warga emas hingga putus telinga kiri.

Pendakwaan terhadap tertuduh, Muhamad Azroy Shaharudin, 33, dibuat di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan menggunakan pisau sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Norhazi Raja Yaakob, 56, hingga cedera putus telinga kiri, luka lutut kiri, urat tendon, otot koyak di tangan kiri bawah siku dan lengan kiri atas siku serta lebam pada kelopak mata kanan.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Kampung Raja Panjit, Machang, pada jam 8.10 malam, 14 Disember 2015.

Kamarohimi Nordin, 29, (kanan) bersama Nik Saiful Adli Burhan selepas dibebaskan.
Kamarohimi Nordin, 29, (kanan) bersama Nik Saiful Adli Burhan selepas dibebaskan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mohamad Nurul Azuar Zulkifli manakala mereka diwakili peguam, Saiful Adli Burhan.

Sebelum itu, di mahkamah sama pada jam 11.45 pagi, tertuduh dan sabahatnya Kamarohimi Nordin, 29, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu berikutan dua saksi gagal hadir pada perbicaaraan kes itu.

Abu Arsalnaa berkata, mereka bagaimanapun dituduh semula kerana kes belum selesai – sinar harian