Seremban: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 22 pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1.5 juta, sejak tiga tahun lalu.

Mohd Liza Azmie Md Darus, 47, dan Md Shah Shairie Abdul Rahman, 34, yang dihadapkan di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fathiyah Idris dan G Ramesh.

Mohd Liza yang juga pengarah syarikat berdepan 10 pertuduhan menerima, menggunakan dan memiliki wang serta harta hasil aktiviti haram sebanyak RM989,888 di empat lokasi berbeza di daerah ini, antara 12 Ogos 2014 hingga 1 September 2016.

Sementara itu, Md Shah yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menipu pula didakwa menggunakan wang berjumlah RM594,500 hasil aktiviti haram di dua bank berbeza di daerah ini antara 20 hingga 25 Mei 2015.

-myMetro