BOTA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan hampir RM500,000 bayaran dividen kepada penduduk Orang Asli di tiga perkampungan sekitar Bota sepanjang tahun 2016.

Pengarah JAKOA Negeri, Hairulnizam Abdul Rahman berkata, peruntukan itu telah disalurkan secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, ia melibatkan tiga buah kampung iaitu Tumboh Hangat, Gedung Batu dan Suak Padu di DUN Bota yang menempatkan lebih 4,000 masyarakat Orang Asli.

“Setiap kampung menerima secara purata RM170,00 bayaran dividen untuk diagihkan kepada peserta Orang Asli dengan purata RM300-400 setiap orang.

“Dividen yang diperuntukkan ini dibayar sepanjang tahun dan ia tidak termasuk pendapatan sendiri sekiranya mereka bekerja dan menjual hasil sendiri,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penutup Sukan Rakyat Orang Asli di SK Suak Padi, Bota sempena Permukiman Menteri Besar di Perak Tengah baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad.

Hairulnizam berharap dividen itu dapat membantu masyarakat Orang Asli dan digunakan sebaik mungkin bagi keper­luan masing-masing.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kebajikan lebih 61,000 masyarakat Orang Asli daripada 225 perkampungan di sekitar negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta agar Orang Asli tidak mudah terpengaruh terhadap anasir dan kritikan yang menjurus kepada komen negatif mengenai penambahbaikan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

“Saya yakin, masyarakat Orang Asli bukanlah mereka yang mundur lagi, sudah boleh berfikir secara kritikal, justeru saya ingin mengingatkan agar tidak mendengar komen-komen berniat jahat ini.

“Di pihak kerajaan negeri, baik api, air, atau pendidikan menjadi tunjang dan perhatian kami, contohnya peruntukan sebanyak RM1.9 juta untuk Program Pengupayaan Orang Asli dan RM0.5 juta untuk tabung pendidikan,” katanya lagi.