TIDAK sampai 24 jam selepas menyamun, penjenayah bertindak memulangkan semula hasil pecah rumahnya bernilai RM1,200 termasuk tong gas dan televisyen berhampiran kediaman mangsa di kuarters Jabatan Bekalan Air Selumit, Tanjung Manis.

Mangsa, Persi Saperi, 43, berkata, dia berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT agar pencuri memulangkan semula barang yang dicuri.

“Ketika solat Subuh semalam, saya ada membaca beberapa ayat suci Al-Quran dan memohon sepenuhnya kepada Allah SWT agar saya mendapat kembali barang yang dicuri itu,” katanya ketika ditemui, di kediamannya, hari ini.

Persi menganggap, Allah SWT memakbulkan doanya sebagai orang teraniaya apabila barang curi terbabit ditemui dan diletakkan di kawasan lapang tidak jauh daripada kediaman Persi, pada 1.30 petang, semalam.

“Saya terkejut melihat barang yang hilang berkenaan seperti dipulangkan semula,” katanya.

Katanya, walaupun kesal dengan kejadian berkenaan, dia bagaimanapun tidak menaruh perasaan dendam kepada si pelaku, malah mendoakannya agar pulang ke pangkal jalan.

“Belum terlambat untuk memohon keampunan dan bertaubat. Jadilah insan yang memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, kediaman Persi di pecah masuk melalui tingkap bahagian dapur ketika keluarga mangsa keluar berhari raya, kelmarin.

Sebaik pulang, Persi terkejut melihat keadaan rumah yang berselerak dan mendapati televisyen dan tong gas turut hilang.

Berikutan kejadian itu, Persi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Manis – hmetro