SEREMBAN: Empat lelaki, termasuk seorang doktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membunuh seorang warga asing, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada P Vengadesvaran, 31; RS Sathya Deepan, 30; Dr Dharma Danny Ferns, 32; dan Mohd Hafiz Abdul Kadar, 33, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mahyum Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh A Angu, 30-an di kawasan kandang lembu berhampiran Taman Dawn di sini, antara jam 9 malam sehingga 10.30 malam pada 16 Mac lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob.

Sathya Deepan yang bekerja sebagai pengurus pemasaran dan Mohd Hafiz peniaga kilang kantin diwakili peguam Paul Krishnaraja, manakala Dr Dharma diwakili P Yugan.

Vengadesvaran yang bekerja sebagai penjual ikan dan penjaga lembu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun ini – Berita harian