IPOH: Seorang doktor didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membuat perakuan palsu laporan pemeriksaan kesihatan pemohon lesen pengangkutan awam.

Hakim S.Indra Nehru memerintahkan tertuduh Dr R. Pathmanathan,55, dikenakan denda tersebut atau dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 5 Jan lepas atas pertuduhan membuat perakuan palsu dalam borang permohonan lesen vokasional Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) L8, tiga tahun lepas.

Pemeriksaan kesihatan tersebut berkaitan permohonan memperbaharui lesen memandu Kelas D bagi membolehkan pemohon memandu kenderaan perkhidmatan awam, sedangkan tiada pemeriksaan kesihatan dibuat.

Dr Pathmanathan didakwa membuat perakuan palsu dalam borang permohonan atas penama Mohd Saiful Baqhtiar Mohd Rohaizat di Kumpulan Poliklinik Manjung Sdn Bhd No. 2446 Taman Samudera, Bandar Seri Manjung, Manjung.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Mac 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahidah Jalalluddin memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.

Sementara itu, peguam Datuk V Manokaran yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda.