SHAH ALAM : Seorang doktor mengaku tidak bersalah di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isteri dan bapa mertuanya yang mana rakaman kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.

Di Mahkamah Sesyen, Dr. Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34,didakwa menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala terhadap bekas isterinya, Siti Nur Hidayah Abd. Rahim berusia 34 tahun menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa atas pertuduhan dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Abd. Rahim Hashim berusia 65 tahun di bahagian dahi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kedai tayar MJ Auto (U5) Sdn. Bhd. Jalan Utarid kira-kira pukul 12.15 tengah hari, pada 4 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghantar Dr. Syed Ariff ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi membolehkan pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan kes akan disebut semula pada 18 Oktober ini.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pergaduhan seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan membelasah bekas isteri dan bapa mentuanya di hadapan kedai tayar selepas mereka pulang daripada urusan mahkamah di Shah Alam.

-UtusanOnline