Subscribe Now

Trending News

Doktor Terpotong Zakar : Doktor Didakwa
Nasional

Doktor Terpotong Zakar : Doktor Didakwa 

KAJANG – Seorang doktor yang melakukan kecuaian apabila terpotong kepala zakar ketika proses berkhatan terhadap kanak-kanak lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah.

Tertuduh Azahari Hashim, 52, juga turut berhadapan dengan pertuduhan menjalankan klinik perubatan tanpa berdaftar dan tiada Sijil Amalan Perubatan yang sah.

Bagaimanapun, Azahari mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, dia secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki berusia yang kini berusia 11 tahun.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjalankan klinik perubatan swasta tidak berdaftar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa tidak mempunyai Sijil Amalan Perubatan yang sah dan dakwaan kes mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh hukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 jika disabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Klinik Keluarga, No 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, di sini pada pukulĀ  8.15 malam, 20 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh diwakili peguam bela Al Sabri Ahmad Kabri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Januari hadapan untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mungkin terpaksa menanggung kecacatan pada zakar sepanjang hidup selepas bahagian kepala kemaluannya terpotong ketika berkhatan menggunakan kaedah laser. – K! ONLINE

Related posts