LENGGONG– Dokumen pencalonan untuk mengiktiraf Taman Negeri Royal Belum di sini, sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO akan dihantar sebelum 1 Februari 2019.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, jika usaha itu berjaya dilaksanakan, Perak bakal mendahului negeri lain dengan memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, selepas Lembah Lenggong.

Menurut beliau, kementerian melalui Jabatan Warisan Negara akan mengangkat khazanah warisan yang unggul sebagai Tapak Warisan Dunia selain mahu bilangannya di Malaysia bertambah.

“Dalam masa terdekat ini kita akan menghantar dossier (set dokumen) ke UNESCO, permohonannya dalam masa setahun, jika berjaya diiktiraf maka terdapat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Hari Warisan Arkeologi Lembah Lenggong di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr. Zainah Ibrahim.

Menurut Muhammad Bakhtiar, terdapat dua lagi Tapak Warisan yang akan menyusul untuk dicalonkan iaitu Permatang Kuarza Gombak Selangor dan Forest Research Institute Malaysia (FRIM) di Selangor.

Dalam pada itu, program tersebut yang dianjurkan antara lain untuk mempromosi dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum menghargai salah stau khazanah warisan negara.

Warisan Arkeologi Lembah Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Saint Petersburg, Rusia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 30 Jun 2012.

Lembah Lenggong turut terkenal dengan penemuan rangka Perak Man berusia lebih 10,000 tahun yang dijumpai di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990, menjadikan ia rangka manusia prasejarah tertua paling lengkap di Asua Tenggara.

Tambah beliau, salah satu usaha pihak Kementerian adalah menjadikan Kompleks Galeri Arkeologi Lembah Lenggong sebagai Pusat Pelawat One Stop Centre yang lebih menarik dan berinformasi.

Sehingga kini sejumlah RM 14 juta telah dibelanjakan di bawah RMK-10 dan RMK-11 untuk kerja-kerja pembangunan infra di Lembah Lenggong.

Sehingga kini Lembah Lenggong merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO keempat di Malaysia selepas Taman Negara Mulu Sarawak, Taman Kinabalu Sabah, Bandar Melaka Bersejarah dan Georgetown Pulau Pinang.