LAHAD DATU: Seekor mamalia dikenali sebagai ‘Risso’s Dolphin’ ditemui sesat di perairan berhampiran Terminal Kontena POIC dekat sini pada Ahad, dan kelihatan masih berlegar di kawasan itu selepas 24 jam, hari ini.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu Sylvester Saimin berkata, haiwan yang berukuran lebih kurang 10 kaki panjang itu ditemui orang awam kira kira jam 8 pagi hari ini.

“Satu pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu telah mencuba untuk membawanya ke luar kawasan teluk ini namun haiwan tersebut kembali semula ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui di kawasan operasi.

Sehingga jam 6 petang Ahad, pasukan operasi yang diketuainya masih memantau perkembangan selanjutnya.

Menurut Sylvester, haiwan tersebut berkemungkinan terpisah dari kumpulannya dan sesat lalu memasuki perairan ini.

Risso’s Dolphin merupakan haiwan yang dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1972.