IPOH: Selepas tempoh perkhidmatan Datuk Zamri Man sebagai Datuk Bandar Ipoh dipendekkan mulai 17 Feb lepas atas faktor kesihatan, siapakah yang akan menggantikan tempat beliau.

Beberapa nama pernah dikaitkan dengan jawatan itu sebelum ini.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Datuk Abdul Rahim Md Ariff, bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh.

Bagaimanapun, cakap-cakap itu tidak menjadi kenyataan apabila Abdul Rahim bersara dari perkhidmatam awam, baru-baru ini.

Selepas itu, timbul desas desus mengaitkan nama Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Dr Ahmad Fadzli pernah dilantik sebagai Pengurus Besar Yayasan Perak.

Beliau juga pernah hadir dalam Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak di sini November tahun lalu, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada Rabu berkata, Zamri telah ditempatkan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mulai 18 Feb bagi menjalani rawatan pemulihan.

“Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti calon pengganti yang bersesuaian dan akan melaksanakan pengisian jawatan tersebut dalam masa terdekat,” kata JPA.

Justeru, dakwaan bahawa Zamri akan disingkirkan daripada jawatan itu kerana menghilangkan diri selama beberapa bulan adalah tidak tepat.