KUALA KANGSAR: Pakatan Harapan mengumumkan Dr Ahmad Termizi Ramli, 61, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar.

Pengumuman dilakukan di hadapan penyokong parti di Kota Lama Kanan, Persisiran Sayong di sini oleh Presiden Parti Amanah Malaysia, Mohamad Sabu.

Dr Ahmad Termizi merupakan lulusan Sarjana Muda Fizik di University of Leeds (1975) dalam bidang Fizik dan merupakan anak kelahiran Kampung Suak Petai, Manong, Kuala Kangsar.

Dalam dunia politiknya, beliau merupakan Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar, Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa AMANAH Nasional, dan AJK Biro Politik Amanah Negeri Perak.

Sebelum ini, beliau menghabiskan pengajian Sarjananya di Universiti of Salford dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi seterusnya University of Swansea, Wales dalam bidang Diploma Fizik Pengionan dan PhD Fizik Perubatan.

Menghabiskan persekolahan menengahnya di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Dr Ahmad Termizi bersara sebagai Professor Gred B di Universiti Teknologi Malaysia ( UTM).

Selain itu, beliau juga berpengalaman sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM dan Setiausaha Politik IKRAM selain merupakan Presiden Kesatuan Melayu United Kingdom ketika zaman pengajiannya di UK.

Ayah kepada sembilan anak itu dianugerahkan Pingat Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah dan merupakan Ahli Senat UTM pada tahun 2011 hingga tahun 2016.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir dalam majlis pengumuman itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham .