IPOH: Dr Anuar Hasin dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid muncul johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran peringkat negeri Perak tahun  2018.

Dr Anuar yang muncul johan bagi kali keenam dan Puteri Kalimatul Azzua menerima hadiah wang tunai RM7,500, plak, sijil, hadiah iringan dan pakej haji bernilai RM10,000.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam majlis penutup dan penyampaian hadiah di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@Meru di sini malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.

Naib johan qari dan qariah jatuh kepada Syamsul Abu Hassan Alshaari dan Munirah Razali yang menerima hadiah wang tunai RM6,000, sijil dan hadiah iringan.

Tempat ketiga pula disandang Mohd Sahran Datuk Termizi dan Nor Salwa Razali. Mereka menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil dan hadiah iringan.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan hafazan, masing-masing bagi tiga kategori bagi lelaki dan perempuan iaitu 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk.

Haziq Muhsin Mohd Nizam muncul johan kategori 1-10 juzuk lelaki manakala kategori perempuan dimenangi Nurin Adriana Yaffan Arkam. Mereka menerima wang tunai RM3,000, sijil dan hadiah iringan.

Bagi kategori 1-20 juzuk lelaki dimenangi Muhammad Dzulfakor Muhammad Zaine manakala perempuan dimenenangi Puteri Balqis Roslan. Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.

Bagi kategori 1-30 juzuk lelaki dimenangi Amril Syafik Ahmad dan perempuan dimenangi Mahirah Redzuan. Mereka memenangi wang tunai RM8,000, sijil, hadiah iringan dan pakej haji bernilai RM10,000.