PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan menarik balik tuntutan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi penghakiman yang memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura pada 2008 tanpa membuat rujukan, kata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dalam komen yang dikongsi Najib Razak di Facebooknya.

Apandi berkata keputusan itu dibuat semasa beliau diarahkan bercuti, beberapa hari selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei.

“Semasa saya berada dalam cuti Tun Mahathir buat keputusan untuk tarik balik kes rujukan di ICJ itu tanpa rujukan kepada saya atau pun Kabinet. Pada masa itu semua pasukan peguam, termasuk beberapa orang QC bersiap sedia untuk berhujah di The Hague,” kata Apandi.

Beliau memberi maklum balas kepada komen Najib di Facebook yang menuduh Pakatan Harapan tidak konsisten dalam pendiriannya ke atas Pedra Branca, yang mana Malaysia merujuknya sebagai Pulau Batu Puteh. -freemalaysiatoday