KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kesal dengan penahanan seorang pengguna media sosial berikutan ciapnya di Twitter mengenai seorang anak raja.

Dr Mahathir menegaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah demokrasi.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuat satu tangkapan terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan.

“Rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu. Kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi. Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara.

“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial terbabit,” kata Dr Mahathir menerusi Twitter rasminya Dr Mahathir Mohamad‏@chedetofficial di sini sebentar tadi.

Sebelum ini seorang pengguna Facebook dikenali Rizal Fahmi memuat naik status mendakwa seorang penulis dan Ketua pengarang laman web Neon Berapi, iaitu Firdaus Abdillah Hamzah @Pipiyapong ditahan malam tadi di Balai Polis Tampoi, Johor dipercayai berikutan tindakannya memuat naik status menghina seorang anak raja menerusi laman Twitternya baru-baru ini.

“Selepas setahun berkuasa, kerajaan baru sepatutnya jangan ikut perangai buruk rejim lama yang suka gunakan undang-undang untuk sekat pengguna media sosial, dan suka tahan orang sebab “sakitkan hati” orang lain di Twitter. BEBASKAN PIPIYAPONG,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim di Twitter berkata Istana Johor tidak membuat sebarang laporan polis.

“Jikalau ada laporan, ia kemungkinan dari pihak lain. Ini tiada kaitan dengan kami, dan tolonglah, pada bulan yang mulia ini, saya sekeluarga ingin menjalankan tugas kami bersama rakyat dan beribadah,” katanya – Berita harian