SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada ada masalah dengan tempoh penggantian jawatan perdana menteri kerana beliau dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah ada ada perjanjian.

“Kita rundinglah. Kalau sebut soal menunggu, sudah lebih 20 tahun saya menunggu,” katanya ringkas.

Mengenai tarikh Dr Mahathir akan berbuat demikian, Anwar berkata: “Kami akan membincangkan tarikh kemudiannya.”

Mahathir konsisten dengan janjinya untuk melepaskan jawatannya dan menghormati konsensus dalam Pakatan Harapan

Beliau berkata menjawab soalan penuntut Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) pada majlis Temu Anwar @UiTM di Dewan Sri Budiman UiTM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar tidak fikir kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat.

Ini kerana, katanya, PH ketika menjadi pembangkang sebelum ini menentang keras pelaksanaan GST oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap menindas rakyat.

Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan PH ada cadangan untuk memperkenalkan semula dan mungkin pelaksanaannya dibuat selepas mendapat kajian semula.

“Saya tidak fikir kerajaan PH akan laksanakan GST dalam masa terdekat ini, sebab sebelum ini ketika kita menjadi pembangkang, kita menentang kuat GST kerana membebankan rakyat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir di Putrajaya hari ini yang berkata, kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST sekiranya itu kehendak rakyat.

Mahathir berkata, kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (GST) lebih baik dari SST ataupun tidak,” kata Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam hari ini.

Pada sesi soal jawab itu, Anwar yang juga Presiden PKR menjawab kira-kira 30 soalan dari 30 penuntut pelbagai fakulti sepanjang program dua jam bermula pada jam 2.40 petang.

Antara lain, beliau turut menjawab hukuman penjara yang dijalaninya lebih 10 setengah tahun, pergolakan politik yang berlaku dalam pentadbiran PH dan penggantian jawatan Perdana Menteri dari Mahathir.

Menurut beliau, mengenai hukuman penjara, beliau sentiasa kena kuatkan semangat, lebih lagi berdepan tekanan dengan keadaan partinya, PKR dan keluarga.

Katanya, beliau mula dipenjarakan dengan tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun sebelum dibebaskan dan bergiat aktif dalam reformasi.

“Ketika itu, saya lawan kerajaan, saya ditahan bawah ISA dua tahun, keluar ISA saya bising dan dilantik menteri. Saya bising lagi dilantik Timbalan Perdana Menteri. Selepas itu dimasukkan ke penjara untuk kali kedua.

“Sebaik keluar dari penjara, saya memimpin parti PKR sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2013 Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu menang majoriti, tetapi tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Saya orang pertama bangkitkan isu 1MDB. Bila saya bising, saya dimasukkan penjara lagi, kemudian tahun 2018 keluar lagi. Takkan lepas ini saya pula (masuk penjara), berilah pada orang lain pula,” katanya yang disambut dengan tepukan para penuntut UiTM.

Menjawab soalan berhubung pergolakan politik dalam PH, Anwar menjelaskan, keadaan politik ketika ini stabil dan tidak berlaku sebarang pergolakan serius sebagaimana dicanang pihak tertentu.

“Siapa kata politik Malaysia tidak stabil? Kalau ada pun, pergolakan ini memberi keindahan kepada politik. Tidak semua parti itu berjalan lancar, dan ada ketikanya pemimpin parti itu perlu ditegur, diperingatkan.

“PH tidak seperti UMNO yang mengamalkan budaya tidak boleh kritik. Kita mengamalkan sikap terbuka, sesiapa sahaja boleh tegur, memberi pandangan dan idea.

“Saya juga ada jumpa Dr. Mahathir maklumkan mengenai keadaan politik dalam parti saya. Ada juga yang melenting tapi kita dengar dan kita cuba perbetulkan,” katanya.