PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menafikan sebuah projek bernilai RM450 juta di Kelantan ditawarkan Kementerian Kewangan melalui rundingan terus, sebaliknya ia adalah lanjutan kepada projek sedia ada.

“Sekiranya anda baca nota yang saya tulis, saya kata jika syarikat itu sedia mengurangkan kosnya dan ia merupakan lanjutan kepada projek sebelumnya, ia bukan rundingan terus,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Pencegahan Rasuah di sini, hari ini.

Perdana menteri mengulas sepucuk surat didakwa daripada Kementerian Kewangan yang tersebar di media sosial mengatakan sebuah projek di Kota Baru, Kelantan ditawarkan melalui rundingan terus.

 

Surat bertarikh 26 Julai 2019 itu didakwa difaks kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad.

Surat itu merujuk sepucuk lagi surat yang dihantar perdana menteri dua minggu lalu.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Mahathir.

Ditanya jika Lim sudah membincangkan perkara itu dengannya, Mahathir berkata: “Ya, kami akan bincang mengenainya.”

Terdahulu, Mahathir berkata, ada keperluan untuk rundingan terus, tetapi ia hanya dibenarkan untuk keadaan tertentu.

Beliau memberi contoh apabila hanya ada sebuah syarikat yang boleh membekalkan peralatan ketenteraan kepada pasukan tentera.

“Tetapi, mereka (kementerian berkaitan) perlu menyatakan alasan untuk rundingan terus dan mendapatkan kebenaran Kementerian Kewangan.”