HANOI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memandu uji kereta buatan Vietnam, VinFast, semasa lawatannya ke syarikat FPT Software yang terletak Hoa Lac Hi-Tech Park di sini.

Diiringi Pengerusi Vingroup Pham Nhat Vuong dan juruteknik VinFast Nguyen Anh Hieu, beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) model LUX SA (A) 2.0.

Kereta jenis SUV LUX SA (A) 2.0 bernilai 1.4 billion Dong (RM249,000) dijangka memasuki pasaran Vietnam tahun ini.Model ini dilengkapi enjin empat silinder DOHC 2.0L turbo, dengan kapasiti 228 hp dan tork maksimum 350 Nm.

Dr Mahathir, yang kini berada di Hanoi untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari ke republik sosialis ini, turut diperkenalkan dengan dua lagi model kereta VinFast iaitu Fadil dan VinFast Sedan LUX 2.0.

VinFast yang merupakan anak syarikat konglomerat Vingroup, adalah syarikat pembuat kereta Vietnam.

Kilang pemasangan VinFast dilancarkan pada tahun 2017 dan model pertamanya Fadil dilancarkan pada tahun lepas.

-BERNAMA