LANGKAWI : Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau pelik PAS masih menyokong kerajaan negeri di Kedah yang diterajui Parti Pribumi Malaysia (BERSATU).

Bekas Perdana Menteri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan keadaan itu akan berubah kerana beliau percaya pimpinan PAS Kedah akan menerima tekanan daripada ibu pejabat parti berkenaan.

“Di Kedah, (kerajaan negeri) masih kekal BERSATU, tapi yang pelik adalah PAS. Dia boleh jadi kerajaan (negeri), tapi setakat ini masih lagi beri sokongan kepada pemimpin daripada BERSATU.

“Saya tak tahulah berapa lama (sokongan kepada BERSATU) kerana PAS di Kedah ini pun akan kena tekanan daripada ibu pejabat PAS, kemudian boleh jadi (kerajaan negeri) berpecah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Politik Semasa di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Kedudukan kerajaan negeri diterajui Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan dalam keadaan tidak menentu berikutan perpecahan dalam parti berkenaan selepas BERSATU keluar Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, Mukhriz sebelum ini menafikan kedudukan kerajaan negeri PH dan BERSATU goyah, mendakwa kedudukan 19 kerusi dimiliki pakatan itu menjadikan kerajaan negeri stabil kerana memiliki lebihan majoriti diperlukan untuk memerintah.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS memiliki kerusi terbanyak iaitu 15, diikuti PKR (7), BERSATU (6), UMNO (2) Parti Amanah Negara (AMANAH – 4) dan DAP (2).

Sementara itu, Dr Mahathir ketika ditanya mengenai BERSATU, mengakui parti terbabit kini terpecah dua, iaitu kumpulan yang menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kumpulan yang tidak menyokong.