PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, memimpin Malaysia buat kali kedua sejak Mei 2018, disenaraikan antara pemimpin Islam paling berpengaruh dalam edisi terbaru The Royal Islamic Strategic Studies Centre dikeluarkan pada Ahad.

Mahathir menduduki tempat dalam senarai 50 teratas. Beliau merupakan antara muka baru yang disenaraikan dalam edisi kali ini dan salah seorang daripada 28 yang disenaraikan dalam kategori pemimpin politik dan raja.

Laporan kali ini turut menyenaraikan penceramah bebas berkontroversi Dr Zakir Naik sebagai antara 500 tokoh dan individu yang paling berpengaruh di dunia Islam.

Laporan itu menyebut Mahathir, 94, merupakan penggerak utama transisi ekonomi Malaysia semasa menjadi perdana menteri kali pertama antara 1981 dan 2003.

“Beliau disegani atas sokongan beliau kepada nilai-nilai liberal Muslim dan telah menubuhkan institusi-institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” kata laporan tinjauan yang diterbitkan setiap tahun.

Sumbangan beliau yang digariskan termasuklah peranan aktif beliau dalam Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur berkaitan dengan penganiayaan di Iraq, Lebanon, dan wilayah Palestin.

Pemilihan beliau juga dikaitkan dengan peranan beliau dalam pilihan raya umum 2018 yang membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan, sekali gus menjadi perdana menteri kali kedua.

Zakir, 53, yang dikehendaki oleh India dan kini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung ucapan kontroversi beliau di Kota Bharu, Kelantan bulan lalu, merupakan antara individu yang sudah tersenarai dalam edisi-edisi sebelum ini.

Senarai lain termasuklah Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Turut disenaraikan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Raja Arab Saudi Salman bin Abdul Aziz Al Saud, pemain bola sepak kelab Liverpool kelahiran Mesir Mohammed Salah; peninju Khabib Nurmagomedov, penerima hadiah Nobel Malala Yousafzai dan tokoh cendekiawan Islam Maulana Tariq Jameel dan Sheikh Muhammad Taqi Usmani.