SUNGAI MANIK: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman.

Menurut Tajudin, setiap rakyat negara ini, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, tertakluk kepada undang-undang dan juga mahkamah yang membuat keputusan.

“Tidak ada siapapun yang mengatasi undang-undang, mana boleh, bila Tun Mahathir, dia istimewa tetapi bila orang lain mesti kena (tindakan), mana boleh macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-38 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik / Labu Kubong di Dewan Parit 6, Chenderong Balai di sini pada Rabu.

Beliau mengulas dakwaan Dr Mahathir kononnya penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian perdagangan mata wang asing (forex) berjumlah RM30 bilion yang dialami Bank Negara 25 tahun lalu, hanya mahu memenjarakan penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Tajudin berkata, terpulang kepada hasil siasatan RCI dan selepas itu terserah kepada pihak pengadilan untuk mengambil tindakan.

“Siapa juga, tidak kira Tun Mahathir ke, kalau dia bersalah, terlibat, kalau hukumannya penjara, penjaralah,” ujarnya.