SHAH ALAM: Semua pejabat di sektor awam dan swasta disyorkan berhenti seketika untuk membenarkan pekerjanya bersenam kira-kira 15 minit setiap hari.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi memastikan pekerja berada dalam keadaan sihat dan cerdas selain mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya syorkan semua kegiatan pejabat kerajaan dan swasta berhenti seketika pada jam 11 pagi dan melakukan satu senaman mudah selama 15 minit.

“Kalau boleh keluar dari bilik pejabat yang berhawa dingin, ini adalah cara untuk kita cergaskan diri kita,” katanya ketika melancarkan Kempen WALK, di Setia Alam, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya tidak bersenam, otak pekerja akan menjadi lemah dan tidak dapat digunakan dengan baik.

“Dulu ada pelbagai pekerjaan yang membuatkan badan kita menjadi sihat tapi sekarang kita kerja di pejabat dan lebih banyak duduk saja dari pagi sehingga ke petang,” katanya – berita harian