PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini.

Pertemuan berkenaan berlangsung selama kira-kira 30 minit dan Hsien Loong dilihat meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana kira-kira jam 11.40 pagi selepas pertemuan itu.

Isnin lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir yang menjadikan itu kunjungan pertama pemimpin negara luar selepas beliau menjadi Perdana Menteri.

Hsien Loong adalah pemimpin ASEAN yang kedua mengunjungi perdana menteri baharu itu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia selepas mengetuai gabungan PH untuk mencatatkan kemenangan besar pada PRU-14, sekali gus menjadi perdana menteri paling tua di dunia.

Rabu lalu, Hsien Loong mengumumkan dalam sidang Parlimen Singapura bahawa beliau akan melakukan lawatan ke Malaysia untuk bertemu Dr Mahathir – berita harian