PANGKOR:  Felo Pengajian Islam di Oxford Centre di United Kingdom, Datuk Dr Muhammad Affifi al-Akiti dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tertinggi Ilmuwan Perak di Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) ke-7 pada malam tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Dr Muhammad Afifi, 40, yang juga merupakan Orang Besar 8 Perak  bersempena dengan majlis penutup PULARA.  

Anugerah tertinggi yang julung kali diperkenalkan pada PULARA kali ini bertujuan menghargai illmuwan anak Perak Dr Muhammad Afifi yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa dengan ketokohannya.

Beliau juga merupakan rakyat Asia Tenggara pertama yang berjaya menjadi pensyarah di universiti terulung dunia United Kingdom itu.

Beliau merupakan salah seorang penerima daripada empat anugerah utama dalam Hadiah Karya Darul Ridzuan (HKDR) kali kelima.

Selain anugerah tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Prof Dr HM Bukhari Lubis yang kini merupakan Penyelaras Unit Kajian Jawi dan Khat Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI).

Dr HM Bukhari, 63, adalah salah seorang pengkarya syair terkemuka negara yang pernah menjulung Anugerah Sasterawan Perdana serta rakyat Malaysia pertama memperoleh ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang sastera Islam bandingan Arab-Turki-Parsi-Malaysia.

Ketika ditemui, beliau menzahirkan perasaan bangga beliau kerana diiktiraf sebagai salah seorang anak Temoh yang berjaya membawa pelbagai karya Perak ke peringkat antarabangsa sebelum ini.

Dr Muhammad Afifi Dipilih Sebagai Ilmuwan Perak PULARA-7 1

“Selain daripada perasaan gembira saya menerima anugerah ini bagi mewakili rakan-rakan saya seperti Pak Malim, dan Rashidi Abdul Khariz dan pejuang seni lain, saya amat kagum dengan keprihatinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry yang berani, gigih dan tekun dalam memartabatkan nukilan sastera Melayu.

“Dengan lebih 400 penyertaan daripada 20 negara pada edisi ketujuh kali ini, saya dan rakan-rakan berjaya berkongsi pendapat, mendapat inspirasi dan sekaligus mengenali Pangkor sebagai ladang karya seni Malaysia yang sebenar,”katanya kepada Suara Perak.

Dalam majlis yang dihadiri lebih daripada 1,000 pengunjung itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Karyawan Seni Perak kepada Rashidi Abdul Khariz dan Anugerah Seni Budaya kepada Pengarah Pulara Pangkor 7, Mohd Ghazali Malim PK.

Sebanyak 15 kategori HDKR melibatkan pengiktirafan berkaitan buku akademik dan sastera telah diumumkan yang mana penyampaiannya telah diadakan pada hari pertama PULARA berlangsung pada 8 Disember.

Majlis penutup PULARA turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri. Datuk Seri Ahmad Puhat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi dan Timbalan Speaker Negeri, Datuk Nasaruddin Hashim.