IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah memberikan penghormatan terakhir kepada Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak, Mendiang Datuk Chai Voi Keong.

Dr Zambry yang tiba pada pukul 9.30 malam tadi di kediaman Chai di Taman Pari, Ipoh meluangkan masa kira-kira setengah jam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon serta kira-kira 150 anggota keluarga dan sahabat turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Mendiang Chai, 73, meninggal dunia di Hospital Fatimah Ipoh pada pukul 5 petang Selasa akibat menghidap paru-paru berair.

Mendiang meninggalkan seorang isteri Datin Voon Siew Mean, 59, serta empat orang anak yang berusia lingkungan 28 hingga 23 tahun.

Mendiang akan dikebumikan di Paradise Memorial Park, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan Ipoh pada pukul  10 pagi Sabtu ini mengikut upacara Buddha.