IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membidas beberapa pemimpin pembangkang memperlekekan pelbagai usaha kerajaan negeri Perak yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Menurut Dr Zambry, mereka cuba menggambarkan kononnya pembentangan bajet di negeri-negeri yang dikuasai oleh sekutu mereka lebih baik dan dengan sombong berkata, Perak ada apa.

“Inilah masalahnya jika hati telah kelam dan otak sarat dengan segala sarap kebencian,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjawab momokan itu, Menteri Besar berkata, Perak mempunyai kerajaan yang sentiasa bersama rakyat, menjaga keharmonian, membina keamanan dan menjana pertumbuhan di samping memperkenalkan pelbagai program yang akhirnya ditiru oleh negeri sekutu mereka.

“Cuma Perak tidak tidak ada pemimpin berhati busuk, yang sentiasa membuat fitnah dan segala macam cemuhan walaupun terbentang di hadapannya kebaikan yang mensejahterakan rakyat,” ujar beliau.

Beliau memberi contoh, diwar-warkan kononnya negeri sekutu mereka memberi bantuan RM200 kepada bayi yang baru lahir dalam bajet baru-baru ini sedangkan Perak telah melaksanakannya sejak 2010 lagi.

Contoh-contoh lain yang diberikan ialah mikro kredit, penghargaan kepada kaum Sikh, ladang rakyat, membela nasib Orang Asli, tangani kos sara hidup, dermasiswa dan biasiswa kecil RM300 yang sebenarnya telah dilaksanakan di Perak sejak lama dahulu.

“Semua ini adalah sebahagian daripada 42 inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang Barisan Nasional menerajui pentadbiran. Tak perlulah mendabik dada, kononnya hujan emas di negeri orang, tapi ingatlah hujan emas juga bercucuran di negeri sendiri,” tegasnya.

Pada pembentangan bajet kali ini, Dr Zambry membuat kelainan dengan menjemput dan memperkenalkan beberapa orang yang telah berjaya hasil bantuan kerajaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro kredit.

Antaranya, usahawan beras jenama Juara, Zulkifli Jamaldin, 44, dari Parit Buntar yang memperolehi jualan RM50 juta tahun lalu, berbanding RM37 juta tahun 2014 di samping dua peminjam mikro kredit, pengusaha bengkel, S. Thangavaloo dari Slim River yang memperolehi keuntungan bulanan bersih RM20,000 sebulan dan peniaga buah-buahan di Kuala Kangsar, Mooi King Siong, 45, yang menikmati lonjakan hasil bulanan daripada RM2,500 kepada RM7,000 sebulan,

Dr Zambry kemudiannya mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.71 juta tahun depan untuk menjayakan program-program pembangunan usahawan, pinjaman belia niaga di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU), mikro kredit YBU dan Kiosk Amanjaya YBU secara percuma.