AIR KUNING: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menceritakan pengalaman beliau melihat sendiri bagaimana beberapa rakannya di kampung meninggal dunia pada usia muda kerana dadah.

Menurut beliau, kehidupan di kampungnya, sebuah perkampungan nelayan di Pulau Pangkor memang tidak terlepas daripada ancaman dadah.

Tambahan pula, katanya, ada di antara mereka mengambil dadah untuk mengerah tenaga menangkap ikan di laut.

“Saya sendiri saksikan mereka meninggal dunia pada usia 23 atau 24 tahun, masih bujang, malah ada yang meninggal kerana HIV,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bilik / Laluan PPDa peringkat negeri Perak & Outreach OKP dan Keluarga di Dewan SMK Air Kuning di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil yang juga ADUN Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan, Pengarah Pendidikan Negeri, Mat Lazim Idris, Pegawai Daerah Batang Padang, Azizi Abdul Aziz dan Pengarah AADK Perak, Khairul Anuar Ahmad.

zambry-SMK-Air-Kuning 5

Dr Zambry menceritakan, kematian penagih dadah itu sangat tragis, lebih-lebih yang mengidap HIV kerana jenazah terpaksa diurus mengikut kaedah perubatan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak muda, khususnya pelajar sekolah supaya jangan sekali-kali mencuba dadah kerana ia memberi kesan yang sangat dasyat.

“Mencuba dadah umpama ingin mencuba ketinggian bangunan dengan terjun daripada bangunan itu, sudah tentu kesannya sangat buruk,” ujarnya.

Dr Zambry berkata, kesan penagihan dadah bukan sahaja merosakkan diri individu berkenaan tetapi lebih teruk lagi boleh merosakkan tamadun sebuah negara.

Sementara itu, Samsudin yang juga Pengerusi PEMADAM Perak berkata, stigma negative masyarakat terhadap bekas penagih boleh membantutkan usaha kerajaan untuk membasmi dadah.

Sehubungan itu, beliau meminta ketua-ketua masyarakat supaya tidak menyisihkan terus bekas penagih dan keluarga mereka, sebaliknya melibatkan mereka di dalam aktiviti kemasyarakatan.