IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan 11 fokus utama untuk dilaksanakan di negeri Perak sepanjang tahun 2017.

11 fokus itu ialah:

1. Terus memastikan kebersihan tandas.

2. Melunaskan janji Pilihan Raya Umum ke – 13.

3. Tindakan susulan Program Pemukiman Menteri Besar.

4. Penambahbaikan kutipan hasil negeri.

5. Hubungan lebih akrab agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

6. Tahun Melawat Perak 2013.

7. Merancakkan lagi pelaburan.

8. Program pemulihan hutan dan hutan paya bakau.

9. Jabatan Pendidikan Negeri jadikan sekolah tercorok di setiap daerah sebagai sekolah angkat.

10. Membasmi penerokaan tanah secara haram.

11. Perak bersih.

Dr Zambry menggariskan fokus itu ketika Majlis Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2017 kepada penjawat awam di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

IMG-20170112-WA0009

Menurut Menteri Besar, Perak telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2016 melalui pelbagai jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kejayaan ini bukan kejayaan saya, bukan kerajaan Menteri Besar tetapi kejayaan pasukan kita semua, termasuk penjawat awam,” kata beliau..

Dr Zambry memberi contoh, pada tahun 2015, Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9% yang merupakan ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Labuan (6.9%) dan Sabah (6.1%).

Menurut beliau, dari tahun 2010 hingga 2015, Perak telah mencapai Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (Compound Annual Growth Rate – CAGR) sebanyak 6.0% yang merupakan pertumbuhan yang lebih tinggi dari Malaysia (5.3%), Pulau Pinang (5.7%), Johor (5.9%), Melaka (5.6%) dan beberapa negeri yang lain.

“Ini meletakkan Perak pada tangga keempat paling tinggi pertumbuhannya di antara negeri-negeri di Malaysia,” tambah beliau.

Di samping itu, katanya, empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar telah berjaya mendapat 5 bintang bagi Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Tahun 2015.

Beliau menambah, kesemua PBT di Perak turut menunjukkan kecemerlangan dengan dianugerahkan Sijil Bersih Ketua Audit Negara tiga tahun berturut-turut sehingga Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2015.

Katanya, MBI juga melakarkan sejarah sebagai PBT pertama di Malaysia yang berjaya memperolehi sijil pematuhan SAGA (Standard Accounting System for Government Agencies) di samping Anugerah Bandaraya Hijau (Green City Award).

Sambil mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh penjawat awam sepanjang tahun lalu, Dr Zambry berharap ia akan dapat dipertingkat lagi tahun 2017 ini.