Pihak pengurusan Universiti digesa supaya memaklumkan sebarang masalah atau kesulitan yang dihadapi oleh mahasiswa kelahiran negeri Perak kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ianya bertujuan untuk memudahkan pihak kerajaan negeri memberi bantuan secepat mungkin kepada golongan berkenaan.

“Mana-mana pihak yang berwajib tidak kira sama ada pihak kampus atau perwakilan pelajar Perak yang mendapat tahu kes-kes sebegini supaya tampil beritahu pada kita.

“Ini kerana kita telah membuat keputusan selepas mendengar cadangan daripada wakil-wakil mahasiswa supaya diberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media di Persidangan Ketiga Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP) di Intan Ballroom, The Orient Star Resort, di sini pada Ahad.

Dr Zambry turut memaklumkan pihaknya telah meneliti dan mendengar cadangan yang dikemukakan oleh mahasiswa Perak di program itu.

Tambah beliau ianya termasuk memperhalusi cadangan untuk memperuntukkan sumbangan bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“kerajaan negeri akan memperbaiki kesemua cadangan ini dalam langkah untuk membantu mengupayakan golongan tersebut.

“Kita akan perhalusi cadangan itu dengan kerjasama daripada Yayasan Perak serta pihak berkaitan,” ujar beliau.