MANJUNG– Dedikasi dan peranan ibu tunggal dalam membantu parti Barisan Nasional (BN) mendekati pengundi berpotensi ketika Pilihan Raya Umum (PRU), wajar menerima pengiktirafan.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kesungguhan dan komitmen ibu tunggal masih menebal untuk membantu parti meskipun mereka berhadapan dengan dugaan dan cabaran hidup.

“Cabaran menjadi ibu tunggal dengan tanggungjawab membesarkan anak-anak bukan sesuatu yang mudah, bagaimanapun anda berjaya meneruskan kehidupan di sebalik segala keruntuhan dan kehancuran itu,” katanya.

Dr. Zambry berkata demikian di hadapan lebih 400 orang ibu tunggal dari seluruh Malaysia di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) kali ke-5, di sini hari ini.

Yang turut sama Pengerusi PITKM, Datuk Melati Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam pada itu, Dr. Zambry turut memuji peranan ibu tunggal yang tidak pernah jemu masuk ke kampung-kampung dalam misi membantu kemenangan BN.

“Ibu-ibu tunggal ini ada ikatan yang begitu kuat, mereka masuk ke kampung-kampung, pergi ke rumah-rumah untuk kenal pasti pengundi putih atau kelabu dan macam-macam lagi untuk menghadapi PRU.
“Oleh itu kami di peringkat negeri mahu paling tidak memberikan lima peratus kuota untuk ibu tunggal memiliki rumah sendiri, inilah salah satu pengiktirafan yang kita zahirkan buat mereka,”kata Dr. Zambry.