IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan DAP Perak supaya jangan terlalu angkuh dan sombong kerana rakyat akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 “Sebelum ini, mereka kata akan menang mudah pada PRK Teluk Intan sehinggakan menendang manifesto Barisan Nasional ketika berucap, tapi akhirnya, tengok apa jadi kepada mereka.

“Mereka kalah kerana rakyat “mengajar” mereka disebabkan terlalu sombong dan yakin, sama juga dalam kes ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan DAP Perak baru-baru ini, kononnya berdasarkan analisa yang dibuat parti itu, BN hanya mampu memenangi 20 kerusi pada PRU akan datang.

Dr Zambry berpendapat, anilisa yang dibuat itu hanya merupakan sandiwara pembangkang untuk menyalahkan kerajaan, sekiranya mereka kalah pada PRU akan datang.

“Sebelum ini juga, mereka ada buat pada tahun 2008, 2013 dan pelbagai lagi perkiraan mereka, tapi apabila mereka tak menang mereka akan buat tuduhan kononnya berlaku penipuan, inilah masalah pembangkang sebenarnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut menyangkal dakwaan pihak pembangkang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah menjual negara kepada China melalui pelaburan berbillion ringgit yang dibawa pulang baru-baru ini.

Katanya, ahli ekonomi dari dalam dan luar negara juga sependapat bahawa ianya satu kejayaan yang besar bagi Malaysia kerana membawa pelaburan sebanyak itu.

“Itu bukan maksudnya jual negara, tapi biasalah bagi orang yang tak suka, sudah tentu mereka akan mewujudkan persepsi buruk,” ujarnya sambil menambah, jika Perdana Menteri membawa pelabur dari Amerika Syarikat, pembangkang juga akan mengatakan Malaysia dijual kepada negara tersebut.