IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjunjung kasih dan menyambut baik titah Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizuddin Shah untuk memastikan Pulau Sembilan sentiasa dipelihara sebagai khazanah alam.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya dan memastikan agar hasrat dan titah Tuanku dilaksanakan dengan sebaiknya untuk memelihara keunikan alam tersebut.

“Tindakan kerajaan negeri untuk menutup Pulau Sembilan ini adalah untuk membendung tindakan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menceroboh dan merosakkan flora fauna di pulau tersebut.

“Kita amat prihatin dengan perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sejurus selepas perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri ke-13 di Bilik Sidang Media pada Selasa.

Terdahulu, di dalam titah ucapan perasmian, Sultan Nazrin mengingatkan agar Taman Negeri Pulau Sembilan dijaga dengan teliti untuk mengelakkannya daripada dirosakkan oleh aktiviti komersial.

Baginda bertitah, keindahan khazanah negeri yang unik itu kini terancam, khususnya oleh pengusaha yang tidak menghormati peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Speaker Dewan Negeri, S. Thangeswary mengingatkan ahli Dewan untuk mematuhi protokol yang telah digariskan sepanjang enam hari persidangan tersebut berlangsung.

Selain itu, Thangeswary juga berkata terdapat satu proses pemilihan bagi mengisi kekosongan Ahli Dewan Negara kerana Datuk Lee Chee Leong dan Datuk Hamzah Kassim bakal tamat perkhidmatannya pada 20 April ini.