IPOH – Bagi menerapkan kasih sayang serta sifat keprihatinan di kalangan masyarakat terutama pelajar, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini tampil menganjurkan sambutan ‘Peace Day 2018’ bertempat di Padang Ipoh.

Lebih 1,000 orang terdiri pelajar dan guru daripada MCKK, enam sekolah asrama penuh dan 17 sekolah harian berkumpul seawal 7.30 pagi bagi memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan di peringkat negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluangkan masa untuk mengetuai perarakan ‘Peace Day 2018’ bermula dari Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ke lokasi sambutan di Padang Ipoh.

35c1f85e-b694-4df2-bc99-04a91b54648d

Dengan tema Damai Itu Indah, sambutan itu turut disertai Exco Pendidikan Negeri, Datuk Muhammad Amin Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Ghazali Jalal, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Datuk Mat Lazim Idris, dan Pengetua MCKK Anand Baharuddin.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru semua rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang agama supaya menghargai serta memelihara keamanan yang ada pada hari ini.

“Kita semua inginkan keamanan di dalam negara kita, begitu juga di dalam kehidupan.

“Bayangkan jika sebuah negara atau negeri yang tidak mempunyai keamanan, apa akan jadi kepada negeri atau negara berkenaan?

“Sebab itulah dalam konteks kerajaan negeri, kita namakan negeri ini Perak Aman Jaya kerana itu adalah asas yang paling penting,” ujar beliau semasa ucapan perasmian sambutan tersebut.

Dr Zambry turut menaikkan bendera dan melepaskan tiga ekor burung merpati sebagai simbolik kepada perasmian tersebut.

Sementara itu, Anand berkata sambutan Hari Keamanan ini merupakan kali ketiga anjuran MCKK.

“Sambutan ini pertama kali dianjurkan 2011 dan pada 2014 kita adakan di peringkat sekolah. Namun, pada tahun ini kami bersetuju mengadakannya di peringkat negeri supaya mesej sambutan ini dapat disebarkan dan dikongsi dengan lebih banyak sekolah,” kata Anand.

Sambutan kali ini turut menyaksikan penyertaan dari enam buah sekolah berasrama penuh di negeri dari Bagan Datuk sehingga ke Taiping iaitu Sekolah Menegah Sains Bagan Datuk, Sekolah Mengengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menegah Sains Tapah, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, dan Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping dan 17 buah sekolah harian yang lain di sekitar Ipoh yang dijemput oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Anand berkata objektif sambutan ini adalah untuk menerapkan sifat keprihatinan dan kasih sayang antara satu sama lain di semua sekolah di Perak secara amnya dan dalam kalangan warga MCKK secara khususnya.

Ia juga bertujuan untuk menyebarkan mesej ‘Damai Itu Indah’ kepada seluruh masyarakat sebagai pemangkin semangat untuk mengekalkan kedamaian.