IPOH: Kepimpinan melalui teladan, itulah yang dapat digambarkan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjalan di pusat bandar Ipoh bersama-sama wargakota sambil mengutip sampah.

Walaupun sebelum ini, tindakan beliau mengutip sampah bersama-sama pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendapat kecaman beberapa pihak, khususnya pemimpin pembangkang, ia tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan usaha murni itu.

Zambry kutip Sampah 6

Buktinya, beliau sendiri turun seawal jam 6.45 pagi, berjalan sambil mengutip sampah dari Medan Kidd ke Dataran Stesen Keretapi, Masjid Negeri, Medan Selera Dato Sagor dan berakhir di Padang Ipoh untuk pelancaran kempen Perak Yang Bersih kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdu Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Dianggarkan hampir 10,000 wargakota Ipoh dari pelbagai peringkat umur dan sektor, baik dari sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil bahagian di dalam kempen itu di Ipoh.

Zambry kutip Sampah 1

Pihak MBI sendiri telah mengenalpasti 15 ‘checkpoint’ di sekitar pusat bandar untuk tempat permulaan kempen yang akan diketuai sendiri oleh Ahli-Ahli Majlis MBI.

Antara `checkpoint’ itu ialah Stesen Keretapi, Masjid Negeri, Medan Kidd, Little India, Jejak Warisan, UTC, Memory Lane, Medan Istana, Masjid India dan Kinta Riverfront.

Selain pelajar sekolah yang terdapat di sekitar bandaraya Ipoh, khususnya di kawasan `checkpoint’, kempen turut disertai oleh anggota pasukan beruniform dan pertubuhan sukarela.

Selain di Ipoh, Kempen Perak Yang Bersih turut diadakan serentak di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri, dengan anggaran penyertaan kira-kira 100,000 rakyat Perak.

Kempen yang akan berterusan itu antara lain menggalakkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran dan kelestarian alam sekitar.

Matlamat utama kempen ini adalah untuk menjadikan Perak sebuah negeri yang terbersih, indah dan sejahtera, tidak hanya dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam sahaja.