IPOH: Selepas program Jom Solat Subuh Berjemaah mula menampakkan impak, dua lagi program untuk galak anak muda ke masjid dilancarkan.

Dua program itu, Fajar Sejuta Pemuda dan Sahabat Belia Masjid Negeri Perak dilancarkan serentak Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria; Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin; Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Farid Mohd Salleh dan Penasihat Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia, Dr Mohd Hizul Azri.

 

zambry-masjid 3

Majlis yang dihadiri hampir seribu jemaah, kebanyakannya anak muda lelaki dan wanita itu, dimulakan dengan qiamullail, sahur dan solat Subuh berjemaah yang dipimpin guru Al-Quran Masjidil Haram dan Imam Masjid Kaaki, Mekah, Sheikh Usama Muhammad Iqbal.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan tazkirah PU Syed mengenai peranan anak muda sejak zaman para nabi dan rasul yang menekankan kepada kekuatan aqidah, ilmu dan ibadah.

Dr Zambry di dalam ucapannya berkata, kedua-dua program itu sangat baik untuk menjadi asas bagi membina anak muda yang hebat, bukan atas dasar emosi.

“Hari ini kita lihat satu fenomena besar yang cukup luar biasa di mana anak-anak muda di bandar-bandar besar, termasuk di Malaysia memenuhi masjid bermula pada waktu Subuh, inilah permulaan kekuatan umat Islam,” ujar beliau.