IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyempurnakan majlis pelepasan kenderaan rasmi Desa Pelancongan Pasir Salak di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri merangkap ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib dan Nordin Abdul Malek, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan merangkap Pengerusi Penaja Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malik.

Menurut Nordin, pelepasan kenderaan itu adalah sempena Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak yang sedang berjalan sejak 06 Ogos lalu sehingga 16 September depan.

kereta-pelancongan 2

Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan sempena program itu, antaranya Merdeka Boat Cruise (Pertandingan Bot Berhias), Konvoi Merdeka, Malam Gema Puisi dan Pertandingan Joran.

Di samping itu, penganjuran program itu juga bertujuan untuk mendedahkan peserta IGROW YAB (Young Agro Businessman) kepada situasi sebenar dalam mempromosikan sesuatu produk pelancongan.

“Dengan adanya majlis ini, ia dapat menerangkan betapa pentingannya DPPS dalam mempromosikan pelancongan dan mampu menjadi nadi pembangunan ekonomi di kawasan setempat,” ujarnya.

Nordin memberitahu, Desa Pelancongan Pasir Salak terdiri daripada tujuh desa yang digabungkan menjadi satu pakej bersama, yang dijalankan oleh Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah dengan kerjasama Tourism Perak dan Institut Agro Usahawan.

Tujuh desa itu ialah Desa Warisan, Desa Muhibbah, Desa Peneroka, Desa Bendang, Desa Muara, Desa Joran dan Desa Agro di mana setiap desa mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri di samping nilai warisan yang masih terjaga sehingga sekarang.

Majlis Pelancaran Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan sempena lawatan kerja melawat Usahawan IKS di Mukim Pulau Tiga pada 06 Ogos lalu.