KUALA KANGSAR 19 Mei -Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap beberapa sindiket yang bertindak menceroboh dan meneroka secara haram tanah milik kerajaan negeri.

Menurut Dr Zambry, sindiket tersebut bukan sahaja berani menceroboh di kawasan sempadan dengan negeri lain seperti di Tanjung Malim dan Lenggong, malah yang terbaharu di kawasan Mukim Ulu Bernam, Muallim.

Di samping itu, beliau mendedahkan, ada sindiket yang turut menawarkan penjualan tanah milik kerajaan negeri di Mukim Senggang, Kuala Kangsar dalam aplikasi ‘Whatsapp’ baru-baru ini.

“Dulu saya dah dedahkan kegiatan mereka di Lenggong dan Tanjung Malim yang melibatkan ribuan hektar…baru-baru ini di Muallim dan Kuala Kangsar pula.

“Kita amat berharap polis dan SPRM dapat bertindak segera bagi memberkas mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam sidang akhbar sebelum majlis Jamuan Rakyat di Dewan Terbuka Kampung Chuar Kati di sini pada Jumaat.

Kes terbaru di Kuala Kangsar dan Muallim melibatkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) yang luasnya kira-kira 138.4 hektar.

Dr Zambry berkata, pihak PPPNPk telahpun membuat laporan polis mengenai kedua- dua kes itu dan berharap siasatan serta tindakan segera dapat diambil.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya akan melihat semula prosedur pembelian dokumen tanah kerana dikhuatiri akan disalahgunakan oleh pihak yang cuba memanipulasinya untuk kepentingan peribadi.