IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini menafikan berita kononnya kerajaan negeri akan memberi “Bonus Rakyat 1 Perak Ku (BR1PK)” seperti ditularkan di aplikasi WhatsApp ketika ini.

Dr Zambry berkata, penularan berita palsu itu merupakan tindakan pihak-pihak tertentu yang berniat jahat terhadap kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Di dalam mesej itu kononnya kerajaan negeri akan memberi RM750 kepada semua rakyat Perak berumur 16 higga 55 tahun, saya boleh sahkan di sini ianya langsung tidak wujud.

e8c38f8f-cf48-4fa9-a391-470c3f2d5f89

“Mesej palsu begini sengaja diwujudkan bagi menimbulkan perasaan marah rakyat terhadap kerajaan negeri kita, ini tidak lebih daripada hanya perang propaganda pihak-pihak tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini pada Selasa.

Sehubungan itu beliau memberitahu setiausaha kerajaan negeri telah diarahkan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa supaya satu tindakan keras dapat diambil terhadap individu-individu tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Saya difahamkan laporan polis telah dibuat dan kita juga akan laporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti individu-individu terbabit,” jelas beliau.