KAMPAR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada terus kekal menjadi Menteri Besar atau dipindahkan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

 

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, beliau bukannya mengesahkan (confirm) bercadang hendak berpindah tetapi cuba disensasikan oleh media.

 

“Saya ditanya, apakah Datuk Seri akan menjadi Menteri Besar lagi ataupun bercadang nak pindah, saya sebutkan bahawa itu bergantung kepada pucuk pimpinanlah.

mb kampar 4

“Takkan saya nak kata, saya tetap nak jadi Menteri Besar, takkanlah nak sebut macam itukan ataupun yes saya dah tak nak, saya pergi ke Parlimen, saya tidak menjawab begitu.

 

“Saya sebutkan dalam politik ini, perkara itu biasalah tetapi apapun kita bergantung kepada kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran `Permulaan Kerja’ Pembinaan Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Kampar di Kampar Putra, di sini, pada Isnin.

 

Beliau diminta mengulas tajuk utama akhbar tempatan yang menyebut beliau bersedia bertanding di kawasan Parlimen sekiranya diputuskan oleh kepimpinan Pusat.

 

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menjelaskan bahawa di peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membicarakan soal pindah, beliau menjadi Menteri Besar atau orang lain.

 

“Ini disebabkan oleh persiapan kami, Yang Amat Berhormat Presiden parti dan Pengerusi BN telah arahkan kami untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang.

 

“Jadi persiapan untuk peringkat ini ialah untuk perkemaskan jentera parti dan juga melihat dari segi calon- calon yang berpotensi untuk menjadi wakil rakyat,” ujarnya.

 

Dr Zambry juga menjelaskan bahawa BN Perak telahpun menggerakkan jentera parti sejak dulu lagi dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.